Demi sesuap nasi.PENYANYI era 90an Alina Hassan kini gembira dengan kerjaya baharunya sebagai penyanyi jalanan atau ‘busker’ di pusat penjaja makanan ‘food truck’ di Jalan Genting Kelang, Setapak.
Alina, 52, yang dihubungi berkata, segala-galanya bermula apabila dia bertemu pengerusi penjaja di situ pada Rabu lalu dan menyatakan hasrat untuk menyanyi bagi menghiburkan pelanggan, selain mencari rezeki.
“Alhamdulillah, hasrat saya itu dirujuk oleh pengerusi terbabit dengan peniaga-peniaga lain menerusi kumpulan WhatsApp untuk meminta persetujuan.
“Esoknya (Khamis lalu), saya menerima jawapan boleh menyanyi di situ. Perasaan gembira dalam hati ini tak terkira dan sebelah malamnya terus saya mulakan tugas menyanyi di situ.
“Sehingga kini, saya dah empat hari menyanyi di kawasaan berkenaan. Rezeki diperoleh pun bukanlah banyak sangat tapi saya sangat bersyukur,” katanya.
Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 ini mengakui dia bukanlah terlalu mementingkan kutipan menerusi nyanyiannya.
“Paling penting ialah penghargaan daripada peniaga dan pelanggan di situ. Setakat ini, semuanya berjalan lancar.
“Yang seronoknya ada juga peniaga yang bersedekah barangan jualan mereka kepada saya dan ia amat mengharukan.

“Pelanggan pula gembira dan ada yang minta saya menyanyikan lagu kegemaran mereka. Yang kenal saya pula, mahu bergambar. Saya pun tiada mas4lah jika ada yang tak kenal kerana paling utama saya rasa selesa,” katanya.
Alina memulakan aktiviti nyanyiannya selepas jam 9 malam. Dia hanya berjalan kaki daripada kediamannya ke pusat penjaja makanan itu.
“Saya rasa seronok dengan apa yang dilakukan kini. Matlamat saya ialah menyanyi bagi menghiburkan pelanggan dan peminat.
Pada 13 Ogos lalu Alina menerima berita gembira apabila permohonan menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diluluskan.

Dia diberikan surat tawaran untuk menyewa rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur dengan kadar sewa RM124 sebulan.
“Saya sudah bayar deposit rumah lebih RM400, termasuk bil elektrik. Sekarang saya hanya tunggu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) jalankan kerja-kerja pembaikan dan sambung elektrik sebelum berpindah ke sana,” katanya.
Sumber:HM
Leave a Reply