Kerajaan pertimbang faceshield, purdah sebagai alternatif bagi pelitup muka

Berikutan kes kembali meningkat,kerajaan telah mewajibkan penggunaan pelitup muka berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Namun langkah sedemikian agak membebankan bagi golongan yang kurang berkemampuan, apatah lagi bagi yang mempunyai anak ramai.

Menjelaskan hal berkenaan, Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata beliau memahami rintihan golongan berkenaan dan sudah membangkitkan perkara itu di dalam mesyuarat jawatankuasa khas menteri sebelum ini.

Menurut Ismail, beliau sendiri mengemukakan tiga cadangan sebagai alternatif penggunaan pelitup muka pakai buang.

“Mula-mula saya cadangkan kain dijahit dijadikan pelitup muka supaya boleh dibasuh dan dipakai semula. Jadi keluarga miskin tak ada isu lagi terpaksa berbelanja RM1 sehari untuk mask dipakai buang.

“Sebelum ini digalakkan pemakaian mask tiga lapis (3 ply), mungkin mahal sedikit sebab ia daripada fabrik tertentu. Jadi kita cadang, kain biasa dijadikan penutup muka,” katanya dalam sidang media harian pada petang Isnin.

Untuk cadangan kedua kata Ismail, beliau mengemukakan cadangan mengenai penggunaan ‘face shiled’.

“Face shield tak perlu ditukar tapi hanya perlu dicuci. Harga tidak mahal saya difahamkan, dalam RM2 hingga RM4… boleh cuci hari-hari dan tahan untuk beberapa bulan, sekali beli saja.

“Ketiga, asalkan tutup muka… ada yang pakai purdah misalnya, perlu atau tidak pakai mask sebab dia dah pakai purdah. Atau bagi yang menutup menggunakan kain selendang.

“Jadi perkara-perkara ini sedang diteliti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Ismail.

Tambahnya, sekiranya cadangan tersebut diluluskan, kerajaan akan mengumumkan perkembangan tersebut.

“Tujuan kita adalah untuk memudahkan rakyat,” katanya lagi.

Sumber:mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*