Pengorbanan Julia Ziegler

“Fasa hidup ini sudah beralih tanggungjawab. Saya bukan Julia yang dahulu.”- itu jawapan yang diberikan kepada pelakon Julia Ziegler ketika ditanyakan mengenai perkembangan terkininya setelah dikurniakan dua cahayamata.

Berkongsi gambar Rayden yang kini berusia 20 hari bersama kakak sulung, Ivana Johan, Julia bersyukur dikurniakan cahaya mata lagi dalam usia 36 tahun.

“Sukar nak gambarkan apabila sudah memiliki dua cahaya mata. Jarak anak pertama dan kedua juga dekat. Apapun, saya tak pernah terbeban kerana aturan Tuhan sangat cantik.

“Lebih manis, saya dikurniakan sepasang cahaya mata,” katanya.

Lantaran itu juga,ulas Julia dia sukar memberi keputusan bila dia akan kembali beraksi di depan kamera.

“Tak tahulah bila nak berlakon semula. Perasaan rindu memanglah ada, tetapi tanggungjawab terhadap anak dan suami diutamakan.

“Saya mahu menikmati peluang melihat anak membesar depan,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan jurutera mekanikal yang dikenali sebagai Johan pada 1 Januari 2017.

Julia atau nama sebenarnya, Julia Bob Fauzi Ziegler berkata, kasih sayang ditumpahkan kepada dua cahaya mata tak pernah berkurangan, biarpun jurang usia sangat dekat.

“Mungkin ada cakap, belum sempat Ivana membesar dan dapat kasih sayang, kena bahagi bersama adiknya pula.

“Semua ini hanya pandangan mata sahaja. Sebagai isteri dan ibu, saya mahu dua anak menikmati keindahan dan kasih sayang tanpa prejudis.

“Selama ini, saya banyak mengorbankan masa dan minat dalam lakonan untuk memberi perhatian kepada membesarkan Ivana. Dalam hidup ini, saya harus membuat pilihan. Inilah saat paling seronok apabila menikmati fasa bergelar ibu,” katanya.

 

 

 

Sumber:BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*