Terengganu negeri pertama di Malaysia ada pawagam ‘patuh syariah’

Bagi memastikan segala aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam, pawagam di Terengganu kini melaksanakan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita bukan mahram.

Menerusi portal Teganukita.net, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, garis panduan mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan kepada semua premis terbabit sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujar Dr Alias lagi,peraturan baharu itu terpakai kepada semua panggung wayang atau pawagam yang beroperasi di Terengganu dan dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Pada 4 Julai lalu, Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square mengasingkan tempat duduk bagi lelaki, wanita bukan mahram dan keluarga.

Pengurus LFS, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pihaknya menerima arahan daripada PBT untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan itu kepada semua pelanggan.

“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak pengurusan LFS juga bertanggungjawab melakukan pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku situasi mencur1gakan.

“Bagi panggung wayang yang kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga.

“Namun, pengunjung lelaki atau wanita boleh juga ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan batas antara satu sama lain terjaga,” katanya.

Tambah Zulmajdi, penambahbaikan sedia dilakukan pihaknya bagi membolehkan ia dipatuhi dan memberi keselesaan kepada semua pelanggan. Katanya, ini adalah peraturan baharu dan mungkin hanya LFS Kuala Terengganu sahaja yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia setakat ini.

“Kami di peringkat pengurusan juga masih baharu dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang ke sini,” ujarnya.

Sementara itu menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pelaksanaan zon pengasingan yang dibahagikan kepada lelaki, wanita dan keluarga di Terengganu mulai 4 Julai adalah bertepatan.

Pelaksanaan peraturan ini lebih kepada proses mendidik masyarakat terutama kepada mereka yang belum berkahwin untuk mengamalkan apa yang disyariatkan Islam dalam apa jua urusan.

“Sekiranya ada yang melanggar peraturan atau garis panduan ini, kita tidak terus hvkum sebaliknya akan menasihati mereka.

“Bagi yang telah berkahwin dan berkeluarga tidak ada masalah untuk duduk bersama ketika menonton wayang,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan pengasingan tempat duduk bagi penonton bukan mahram di Terengganu walaupun mendapat kriitikan daripada segelintir pihak.

 

 

 

 

Sumber:teganukita.net

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*