Serasi. Itu yang paling tepat untuk menggambarkan mengapa penyanyi dan pelakon Siti Nordiana tetap memilih Fikry Ibrahim menjadi pasangan dalam muzik video lagu terbaru nyanyiannya yang berjudul Angkara.
Menurut Siti Nordiana pengarah menginginkan pelakon dengan muka ‘bad boy’ dan ala-ala ‘playgirl’, jadi, memandangkan hubungan baiknya dengan Fikry jadi Siti Nordiana memilih Fikry sekali lagi untuk muzik video terbaru nya itu .
“Dia kawan yang sangat mudah nak bekerjasama. Berurusan dengan dia pun senang dan tak banyak kerenah.
“Pendek kata, dia sangat memudahkan kerja. Walaupun ada yang cakap kenapa Fikry lagi, sebab dalam video muzik Hatiku Milikmu turut menggunakan Fikry. Tapi, disebabkan seronok bekerjasama dengan Fikry, jadi kenapa tidak kami bekerjasama semula.
“Dia pelakon yang sangat memberi. Kalau tengok drama pendek ini macam-macam rasa ada,” katanya yang teruja apabila video muzik Angkara akan dipersembahkan dalam bentuk drama pendek.

Menurut Nana, idea itu timbul selepas melihat anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, yang suka menonton filem pendek di YouTube.
“Saya terfikir saya tak pernah buat macam ini, selalunya ‘countdown’ saja dan terus keluar video muzik penuh. Bagi saya ia sudah biasa. Jadi, kali ini saya nak bagi ‘extra’ dan drama sikit pada peminat.
“Dalam video muzik ini peminat kena menonton drama pendek dulu baru boleh tahu video penuh.
“Saya mendapat idea ini sebab anak suka menonton drama dan filem pendek di YouTube. Dari situ saya cuba untuk gunakan konsep sama dalam video muzik kali ini,” luahnya yang mahu menonjolkan kisah masalah rumah tangga yang banyak dipaparkan dalam drama atau filem.
Drama pendek hasil sentuhan Khairul Hazwan itu mengandungi empat episod. Episod pengenalan sudah ditayangkan pada 3 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Seterusnya, episod kedua bakal ditayangkan pada 8 Julai dan ketiga pada 13 Julai ini, jam 9 malam di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Sementara itu, video muzik penuh bakal dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai. Serentak dengan itu, dilancarkan juga lagu Angkara.
Sumber: Wilayah ku
Leave a Reply