Tinggal di pondok tanpa bekalan air dan tandas, To’ki terima nasib diri

Macam tak percaya! Penyanyi popular era 90an To’ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur,53 kini tinggal di sebuah pondok di pinggir hutan Batu 12 Gombak Selangor bersama isterinya,Sharifah Fairuz Syed Yusof,48.

Pondok itu dibina sendiri oleh penyanyi yang pernah mengecap populariti menerusi lagu Biasan dan Seni Berzaman itu sejak setahun yang lalu.

Tidak pernah mengeluh, jauh sekali menyesali ketentuan takdir, To’ki yang setia ditemani isteri tercinta bersyukur kerana masih memiliki tempat berlindung.

“Saya bina pondok ni sejak tiga tahun lalu lagi sebenarnya (tetapi) duduk sini dalam setahun lebih.

 

“Walaupun nampak macam ini (serba kekurangan) tetapi saya damai bersama isteri,” kata To’ki berkongsi cerita mengenai fasa hidup yang sedang dilaluinya.

Namun begitu, To’ki menceritakan kediaman yang didudukinya itu tidak mempunyai bekalan air apatah lagi tandas.

Disebabkan itu,bagi kegunaan harian,To’ki akan mengangkut air dari sungai yang berdekatan dan untuk menyelesaikan ‘hajat’ ,dia terpaksa turun ke sungai.

“Nak buat macam mana ini sahaja yang termampu,” luah To’ki dalam nada suara yang lemah.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dugaan berganda buat To’ki apabila pergerakan isterinya terbatas kerana mengalami p4tah tulang pinggul akibat kemalangan yang dialaminya 10 Jun lalu.

“Paling sukar bila tiap kali nak turun atau naik sebab (tanah) curam. Kalau saya naik kerusi roda sekurang-kurangnya perlu tiga orang (untuk bantu) tolak.

“Memang sukar keadaan masa ini, namun saya dan To’ki terima nasib kami. Saya kena sesuaikan diri saya. Itu sahaja yang kami mampu,” celah Sharifah Fairuz pula.

Tambah To’ki, sekiranya ada rezeki, dia mahu mengusahakan pemasangan paip bagi membolehkan bekalan air dipam dari sungai berdekatan ke kediamannya bagi memudahkan urusan kehidupan harian.

“Kalau ada bajet saya nak tarik (pam) air dari sungai ke sini (kediaman) selain tangki air dan tandas, selagi tidak ada semua itu, kami terpaksa turun (ke sungai),” kata To’ki menyuarakan keinginanya.

Kata To’ki, biar apa sekalipun persepsi masyarakat terhadap kehidupan serba kekurangannya, namun, teratak kecil ini baginya saling tidak ubuah sebuah ‘syurga’ buat dia dan isteri.

Pondok kecil yang melindungi mereka berdua daripada panas dan hujan memiliki makna yang sentimental buat To’ki kerana ia adalah hasil kerja tangannya sendiri.

Bukan sekadar menjadi tempat berlindung, pondok serba daif ini juga, kata To’ki menjadi ruang mencari ilham dalam berkarya.

Sekalipun menyedari iklim industri muzik tanah air tidak begitu memberangsangkan, namun, semangat To’ki dalam berkarya tidak pernah pudar.

Dia berikrar untuk kembali bangkit memperkasakan namanya walapun harus berhadapan dengan cabaran.

Berkarya menerusi nota-nota muzik dan bait-bait lirik satu-satunya kerja yang mampu dilakukan To’ki dan kini punca pendapatannya sangat terbatas.

“Sekarang ini pendapatan saya bergantung kepada jemputan menyanyi di restoran atau majlis-majlis kecil sahaja,” ujarnya.

 

 

 

 

 

Sumber/Foto: Astro Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*