Penjelasan Najwa Latif selama 2 tahun menghilang

Selepas 2 tahun menghilang,penyanyi Najwa Latif membuat comeback dengan lagu baharu berjudul ‘Tak Kisah Pun’ untuk peminat-peminatnya.

Najwa, 26, berkata, dia kembali aktif dalam bidang nyanyian berikutan minat yang mendalam terhadap kariernya itu.

“Sudah lebih dua tahun saya bergelar pensyarah bahasa Inggeris di UNITAR International University. Jujurnya, saya gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang ini. Walaupun sibuk sebagai pengajar, saya tetap muncul dengan lagu baharu berjudul ‘Tak Kisah Pun’ yang merupakan produk sulung dari syarikat rakaman saya sendiri, NL Entertainment,” tuturnya.

Sementara itu, Najwa mengakui karier seninya agak perlahan pada tahun lalu kerana sibuk dengan pengajian sarjana di Universiti Malaya (UM).

Bagaimanapun, penyanyi lagu ‘Cinta Muka Buku’ ini bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajiannya itu pada Oktober tahun lalu.


“Saya melengkapkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UM. Alhamdulillah, lega rasanya apabila impian belajar ke peringkat sarjana tercapai dan berjaya menghabiskannya,” jelasnya.

Najwa menceritakan lagu ‘Tak Kisah Pun’ dihasilkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Lebih istimewa dia turut bergandingan bersama penyanyi rap baharu, Akwa Ariffin: “Pada awalnya, saya merancang mengeluarkan single baharu pada Januari lalu, tetapi disebabkan PKP, rancangan terpaksa ditunda.

“Tanpa dirancang, sekitar Mac lalu, saya mendapat idea menghasilkan lagu ‘Tak Kisah Pun’. Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP. Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah di muat naik di YouTube. Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya,” katanya.

Setakat 19 Jun lalu, video muzik ‘Tak Kisah Pun’ yang telah dimuat naik di laman YouTube mendapat lebih 200,000 tontonan.

 

 

 

Sumber: myartis

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*