Sebab kesungguhan Veveonah jawab periksa atas pokok, satu kampung dapat habuannya!

Baru-baru ini tular di media s0sial kisah kesungguhan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian mendapat perhatian Yayasan Nur Jauhar.

Yayasan Nur Jauhar memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M. Jasni selaku penasihat Yayasan Nur Jauhar di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

Turut hadir ialah Pengerusi yayasan, Kolonel (Kehormat) Al-Hambra Tun Juhar, Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin serta kedua ibu bapa Veveonah iaitu Mosibin Makrun dan Rofinah Ungo.

Menurut Canselor UMS, Prof Dr Taufiq, pihak pengurusan UMS telah bersetuju menyediakan biasiswa sekiranya Veveonah berjaya melanjutkan pengajian dalam program ijazah sarjana muda di universiti berkenaan.

“Kita harap beliau akan mengharungi cabaran menuntut ilmu dengan baik dan semoga dia cemerlang dalam akademik sekali gus mendapat pekerjaan baik kelak,” katanya.

Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, tular di media s0sial apabila video yang menceritakan pengalamannya memanjat pokok di kampungnya demi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan mendapat tontonan ramai serta menarik reaksi positif warganet.

Sehubungan dengan itu juga, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut mengumumkan bahawa satu rancangan untuk membina sebuah menara telekomunikasi di Kg Bilangau Kecil, Pitas akan dilakukan untuk menambah baik liputan internet di kawasan sekitar selepas tular kisah Veveonah.

Sementara itu, Veveonah, 19, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yayasan atas sumbangan itu yang disifatkannya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Mengenai video pengalaman menjawab peperiksaan di atas pokok seperti dikongsikan di saluran YouTube miliknya, Veveonah berkata, dia sendiri tidak menyangka bahawa video tersebut akan tular.

Dalam pada masa yang sama, Veveonah turut merasa gembira dan berterima kasih atas keprihatinan pihak berkaitan yang mengambil tindakan susulan menyediakan kemudahan internet di kampungnya.

“Pertama sekali saya buat video itu hanya sekadar suka-suka selain ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menjawab peperiksaan dalam talian.
Saya berterima kasih sekiranya ada pihak mengambil tindakan untuk kemajuan di kampung saya dengan membina menara telekomunikasi dan ini adalah harapan saya kerana internet sangat penting pada masa sekarang,” katanya.

Veveonah yang bercita-cita menjadi seorang guru atau pensyarah itu menjadikan ibu dan bapanya, yang bekerja sebagai petani sebagai pendorong untuk terus berjaya, selain berharap bidang pendidikan akan mengubah kehidupannya bersama keluarga.

Semoga Veveonah berjaya mencapai cita-cita nya!

 

 

 

Sumber :Bernama via MusangViral

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*