“Dalam bala ada hikmah”-Ustaz Azhar Idrus beri pandangan sekiranya PKP dilanjutkan hingga Ramadhan

Walaupun kerajaan masih belum memutuskan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 14 April sebagaimana yang dijadualkan, namun orang ramai tetap berharap agar dapat menyambut Ramadan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Malah ada juga yang menzahirkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang menunaikan solat terawih berjemaah di masjid susulan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan agar mengelakkan perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Persoalan berkenaan dijawab dengan penuh hemah oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi program berjudul ‘Deme wak mende PKP ning?’ bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang disiarkan secara langsung di platform media sosial semalam.

Dua tokoh ilmuan agama ini mengupas mengenai pengisian atau cara untuk menghadapi Ramadan sekiranya PKP masih berlanjutan.

Terdahulu, Zulkifli bertanyakan pendakwah itu berkenaan bagaimana pengisian atau cara untuk menghadapi Ramadan sekiranya PKP masih berlanjutan.

“Kalau PKP masih berlanjutan sampai Ramadan, ustaz duduk rumah macam mana cara nak hadapi puasa dan mengisi bulan Ramadan,” tanya Zulkifli.

Dalam nada yang penuh santai dan humor, UAI berkata orang ramai tidak perlu berasa aneh atau janggal sekiranya terpaksa menjalani ibadah puasa sewaktu PKP kerana sebenarnya terselit hikmah besar di sebalik apa yang sedang berlaku.

“Kalau sebut puasa tak ada masalah, lebih baik kita berkurung. Itu kelebihannya dalam bala ada nikmat. Bila kita puasa tak ada PKP, kita keluar… bila kita keluar, macam-macam pandang.

“Jadi bila kita kurung, pahala kita kemas. Orang yang pandang benda ni benda akhirat, dia rasa PKP ni nikmat, akan rasa bertuah sebab tak keluar. Bila tak keluar, mata terjaga,” katanya.

UAI, seterusnya menjelaskan bukan sesuatu yang aneh jika tidak dapat menunaikan solat terawih secara berjemaah di masjid.

Ujarnya, ini kerana Rasulullah SAW juga ada kalanya menunaikan solat terawih secara bersendirian di rumah baginda.

Malah ujar UAI, pada ketika inilah ibu bapa dapat mendidik anak-anak mereka untuk berjemaah bersama-sama di rumah.

“Benda itu biasa. Dulu anak-anak tak sembahyang terawih. Ini kita ada di rumah, hampar sejadah molek-molek di ruang tamu, sembahyang terawih.

“Orang sibuk menggelupur nak pergi masjid, bila ada masjid tak pergi. Berkurung ni kita latih ajar anak terawih, ajar anak tazkirah.. cuma tak leh iktikaf di rumah.

“Namun ulamak dah kata, bila kita selalu buat perkara itu (iktkaf) dan tiba-tiba ada uzur syarie iaitu uzur yang diterima syarak, kita duduk rumah pun niat nak iktikaf tapi dihalangi uzur, pahala sama macam iktikaf,” jelasnya.

 

 

 

Sumber:mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*