Solat Jumaat dan fardhu dibenarkan di semua masjid ,surau Selangor berkuatkuasa hari ini

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan semua masjid dan surau yang diberi kebenaran menganjurkan solat Jumaat mendirikan solat itu berkuat kuasa 3 Julai ini.

Selain itu,semua masjid dan surau juga dibenarkan dibuka semula untuk solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di tiga masjid iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya ditetapkan 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti rumah ibadah berkenaan.

Bagi jemaah di surau pula kebenaran mendirikan solat Jumaat dan solat fardu yang ditetapkan adalah seramai 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Munir menjelaskan, Sultan Selangor memberi perkenan tersebut setelah mendengar taklimat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan kedudukan dan data terkini w4bak Covid-19 di negeri ini.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau di Selangor.

 

 

 

 

Sumber:SinarHarian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*