Fasa bahagia Nonny -Niezam Zaidi

Pada awalnya, tidak mudah buat pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah, 31, bangkit semula dan melupakan kisah silam yang pernah membelenggu hidup selepas dua tahun berpisah dengan bekas suami.

Hakikatnya, setiap manusia melalui jalan berbeza dan berdepan liku kehidupan. Nonny atau nama sebenarnya, Nonny Nadirah Zainuddin juga pernah bergelut dengan masalah.

Bagaimanapun, kehadiran pelakon Niezam Zaidi yang dilihat akrab dengannya bagaikan memberi sinar. Biarpun mengundang seribu persoalan, adakah mereka sedang menjalinkan hubungan istimewa atau sekadar berpaksi membintangi drama Luka Di Hati Diya bersama?

Menjawab tanda tanya,Nonny menjelaskan,
“Kami bergandingan dalam telefilem Bedah Motor pada 2016. Tanpa diduga, kami sekali lagi dipertemukan menerusi drama Luka Di Hati Diya arahan Eyra Rahman terbitan Global Station, tahun ini.

“Saya akui, kami mula berhubung semula dan bertanya perkembangan sejak tahun lalu. Niezam banyak memberikan saya galakan dan kata perangsang. Jika ikutkan selepas berpisah dengan bekas suami, saya bertuah memiliki teman seperti Heliza Helmi dan Mila Jirin yang berdiri teguh di belakang saya.

“Kemudiannya, Niezam pula hadir. Secara kebetulan, kami banyak berkongsi suka duka termasuk kisah peribadi yang tak menyebelahi diri.
Mungkin itu juga antara ruang bicara yang membuatkan kami senang rapat,” katanya.

Bekas peserta program reaaliti Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, Niezam juga menggalakkannya kembali aktif di pentas seni.

“Selain keluarga dan kehendak diri, Niezam menjadi pembakar semangat untuk saya kembali berlakon,” katanya.

Mengulas sejauh mana hubungan yang terjalin, Nonny berkata, dia dan Niezam tidak mengisytiharkan sebarang status terperinci.

“Saya suka berkawan dengan Niezam. Dia sangat baik dan menyenangkan. Lebih utama, dia faham situasi yang dialami.

“Cuma, untuk menebak terlalu jauh hubungan ini, saya tak mampu memberi jawapan pasti. Saya masih takut memulakan hubungan baharu.

“Saya bimbang mengadap episod hubungan sama. Jujurnya, saya bukan menafikan atau menyembunyikan hubungan yang terjalin. Saya selesa menyerahkan soal hati dan perasaan kepada Allah SWT.

“Saya harap segala doa yang baik untuk diri saya termasuk kekal istiqamah dan diberikan jodoh terbaik kelak,” katanya.

Nonny menjelaskan, kehadiran Niezam dalam hidupnya banyak mengubah banyak sudut dan perihal.

“Bagi saya, semua orang boleh berubah menjadi baik. Namun, untuk terus bertanggungjawab amat sukar. Bagaimanapun, saya melihat ada sisi ini pada Niezam.

“Pada saat saya memerlukan seseorang, Niezam sentiasa ada. Andai jodoh saya dengannya, saya terima. Namun, andai tiada jodoh, saya berharap kami tetap akan jadi kawan baik hingga akhir hayat.

“Bahkan, saya akan sentiasa mendoakan Niezam bertemu jodoh yang baik. Antara saya dengannya, kami ada kekurangan. Tiada siapa atas muka bumi ini sempurna. Namun, kami belajar untuk melengkapi kekurangan dan jauh sekali mencari silap,” katanya.

Sumber:BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*