Permintaan ‘hadiah hari lahir’ Dr Noor Hisham kepada rakyat Malaysia

“Sempena hari jadi saya pada 21 April, hadiah paling istimewa untuk saya ialah, kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi.”

Demikian permintaan hadiah hari lahir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sambil tersenyum.

Dr Noor Hisham yang menjadi tumpuan media dan rakyat Malaysia sejak wabak COVID-19 melanda dunia, genap usianya 57 tahun pada hari ini, Selasa, 21 April.

Saban hari, kemunculan figura anak kelahiran Sepang, Selangor ini sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyata Malaysia bagi mendapatkan maklumat mutakhir berkaitan COVID-19.

Semalam, menjelang sehari sebelum hari ulang tahun kelahirannya, Dr Noor Hisham membawa khabar positif wabak COVID-19 apabila menyatakan jumlah kes positif baharu dicatatkan Malaysia adalah yang terendah sejak 12 Mac lalu iaitu dengan 36 kes dan tiada kes kem4tian dilaporkan.

Ketika ditemui Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan itu menyampaikan pesanan meminta semua rakyat Malaysia kekal di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai hadiah hari lahirnya dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di dunia.

Disenarai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani situasi C0VID-19, Dr Noor Hisham menyifatkan permintaan itu adalah antara hadiah hari lahir paling bermakna buatnya.

Dua lagi doktor, yang disenarai rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN), ialah Dr Anthony Fauci daripada Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield daripada New Zealand.

CGTN menyatakan penobatan Dr Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak C0VID-19 di Malaysia.

Jelas CGTN, sebelum ini tidak ramai yang mengenali Dr Noor Hisham, dan dua lagi tokoh berkenaan, namun mereka kini menjadi sumber maklumat paling ‘dipercayai’ bagi pandemik itu di negara masing-masing.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

Sumber:BH online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*