SEJAK seminggu lalu, boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia sudah mula merentasi negeri pulang ke haluan yang dirancang selepas hampir tiga bulan tidak dibenarkan berbuat demikian berikutan penularan w4bak Covid-19.
Malah pada detik 12 malam pada 10 Jun lalu, ada segelintir yang meraikan kebebasan pergerakan ini dengan penuh kegembiraan kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, bukan sahaja aktiviti harian terhad, malah aktiviti merentasi sempadan negeri juga tidak dibenarkan.
Namun di sebalik hakikat yang kita semua kini sudah bebas bergerak ke sana ke sini, berbeza pula dengan keadaan penduduk di Limbang, Sarawak.
Daerah bahagian utara Sarawak ini amat istimewa kerana ia diapit oleh Brunei Muara dan Temburong.

Bagi rakyat Limbang, satu-satunya jalan untuk keluar dari Limbang sama ada ke Miri atau lain-lain tempat perlu ialah melalui Brunei terlebih dahulu.
Berikutan itu, dalam tempoh sekatan perjalanan yang dilaksanakan oleh negara Brunei,ia telah menjadi kesukaran buat penduduk Limbang.
Salah seorang penduduknya, Idris Ismail, 50 berkata, walaupun kerajaan telah membenarkan pergerakan rentas negeri, ia seolah tidak boleh diguna pakai di Limbang.
“Tiada istilah rentas negeri di sini kerana ia rentas negara terus. Daerah Miri Selatan atau Lawas Utara perlu mendapat kebenaran Brunei terlebih dahulu jika ingin bergerak dan menggunakan laluan mereka.
“Kita nak ke Miri atau ke Sabah perlu minta hantar dokumen terlebih dahulu. Itu pun kalau lulus kebenaran merentas negara Brunei. Kecuali jika ada kecemasan baharulah diberi kebenaran menaiki ‘belon’ (kapal terbang) kebenaran merentas negara Brunei melalui jalan darat.
“Kami hanya minta kbenaran masuk negara Brunei untuk melintas bukannya tujuan lain seperti singgah membeli-belah dan sebagainya. Dan sepanjang dalam perjalanan di negara ini kami tertakluk dengan peraturan jalanraya serta undang-undang mereka.
“Jadi kami di sini duduklah diam-diam walaupun sudah bebas bergerak,” kongsinya.
Menurut Idris, rakyat Limbang memang sudah lama dibelenggu dengan masalah perhubungan ini.
“Saya tak tahu bila akan selesai. Dulu pernah dengar ada cadangan untuk bina jalan alternatif Lawas Limbang-Miri… tapi itulah dari dulu sampai sekarang dah masuk Perdana Menteri Ke-8 pun masih belum ada penyelesaian lagi.
“Cuma saya rakyat Limbang lepas ni ada jalan sendiri, tak perlu selalu ke luar negara (Brunei) untuk ke negara sendiri,” katanya.
Menurut Idris lagi, sepanjang tempoh PKP baru-baru ini, rata-rata rakyat di Limbang memang tidak dapat bergerak ke mana-mana.
“Hanya kenderaan yang bawa stok makanan sahaja dibenarkan masuk. Mujur jugalah barang makanan dan lain-lain mencukupi.
“Dan banyak juga mata pencarian kami terjejas kerana PKP ini memandangkan rata-rata penduduk di sini bekerja dalam sektor pertanian. Ada juga yang menjadi nelayan.
“Bagaimanapun selepas tempoh PKP ini berakhir dan kini dalam tempoh pemulihan, kami semua perlahan-lahan bangkit kembali mencari rezeki.
“Cuma sekarang ini saya harap rakyat Limbang dapat menjalani kehidupan dari segi pergerakan dengan lebih bebas lagi,” akhirinya.
Sumber:mstar
Leave a Reply