TIDAK dinafikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia yang masih belum menemui penamatnya hingga membuat kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi sehingga 28 April.
Kelibat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada setiap sidang media khas berkaitan penularan wabak itu sedikit sebanyak membuatkan ramai lega kerana informasi terkini disampaikan terus oleh beliau.
Tan Sri Muhyiddin seringkali tampil dengan gaya penampilan bersahaja tanpa sebarang formaliti khusus seperti tidak memakai blazer dan melipat lengan baju kemejanya ke paras siku.

Menurut perunding imej, Asnawi Yusof, pemilihan gaya pakaian perdana menteri itu bijak kerana menurutnya dalam konsep berpakaian, ada cara berpakaian sebenarnya memberi kesan kepada psikologi manusia.
Ia termasuklah pilihan warna, padanan corak, aksesori dan juga formaliti pakaian. Faktor-faktor ini mampu memberi pengaruh secara tidak langsung kepada yang melihat dan mendengar.
“Contoh paling mudah adalah apabila kita tengok seorang warga emas memakai kopiah, berjanggut sederhana panjang dan percakapan sentiasa berlandaskan agama, automatik kita akan memanggilnya ‘tuan haji’.
“Tengok orang pakai sut, bertali leher dan berkasut hitam oxford, sambil bercakap guna iPhone 11 Pro, automatik kita akan kata ‘dia orang berjaya’ atau ‘anak orang kaya’,” katanya.
Bercakap lanjut mengenai pemilihan gaya Muhyiddin, Asnawi memberitahu kemunculan beliau setiap kali sidang media mengenai PKP ada maksud di sebaliknya.
Asnawi memberitahu pemilihan pemakaian perdana menteri mampu memberi pengaruh secara tidak langsung kepada yang menonton.
Jika dilihat ,Tan Sri Muhyiddin memilih kemeja putih tanpa corak bersama tali leher kelabu gelap dengan corak minimal serta kemeja biru cair bersama tali leher rona sepadan tanpa memakai blazer.
Secara psikologinya kata Asnawi, beliau kelihatan suci dan jujur tanpa sebarang ‘maklumat tersembunyi’ yang disimpan dan tali leher yang dipakai memberikan tanda keamanan dan harmoni supaya nampak lebih dekat dengan masyarakat.

“Muhyiddin turut mengurangkan formaliti dengan tidak memakai blazer supaya rasa lebih membumi dengan masyarakat terutamanya golongan rakyat biasa,” jelasnya.
Berbeza ketika Muhyiddin tampil pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lalu, beliau memilih mengenakan sut penuh berserta tag nama dan tali leher biru, imej berbeza berbanding dua sidang media sebelumnya.

Asnawi berkata, menerusi pakaian itu dapat dilihat perdana menteri serius kerana perutusan yang disampaikan adalah penting serta bernilai RM250 bilion kepada rakyat.
Ketika inilah katanya, beliau perlu menonjolkan diri sebagai seorang individu yang dipercayai, berkarisma dan profesional dalam melaksanakan tugas sebagai perdana menteri.
Bukan sekadar pakaian kata Asnawi, pemilihan perkataan yang digunakan dalam ucapan beliau juga cukup dititikberatkan apabila menggunakan bahasa Melayu dengan terma layman (bahasa mudah difahami) serta beberapa ayat bahasa Inggeris khusus untuk masyarakat bandar atau elite people.

Leave a Reply