Jurukamera drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland, Ambia Ahmad kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dijangkiti Covid-19 sejak 31 Mac lalu.
Turut positif ialah pengarah drama itu, Rahila Ali; penolong pengarah, Sue dan jurusolek Aishah.
Salah seorang pelakonnya, Puteri Aishah turut positif dan kini dirawat di HSB.
Sementara Rahila, Sue dan Aishah kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)
Kesemua mereka disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari penggambaran di Scotland pada 31 Mac lalu.
Difahamkan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ambia terus dibawa dengan ambulans ke HSB.
Dalam pada itu, Rahila ketika dihubungi mengesahkan dia sudah dimasukkan ke PPUKM semalam.
“Semalam dimasukkan ke wad. Hari ini saya mulakan rawatan,” katanya ringkas.
Rahila berkata, dia bersama kru dan pelakon yang tiba di tanah air pada 31 Mac lalu diarahkan menjalani kuarantin diri di tempat masing-masing tanpa membabitkan orang lain atau ahli keluarga.
Turut positif penyakit itu ialah salah seorang pelakonnya, Puteri Aishah.
Rahila bersama kru seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Rahila juga terpaksa menghentikan penggambaran dan pulang selepas diarahkan berbuat sedemikian.
Selain Puteri Aishah, pelakon lain yang turut menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.
Sumber: Harian Metro
Leave a Reply