Tiada ‘job’ menyanyi, Ezad kini berniaga makanan sejuk beku

Penyanyi Ezad Lazim, 40, kini mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku dan makanan segera dalam paket selepas aktiviti nyanyian dan perniagaan diusahakan sebelum ini tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18Mac lalu.

Menurut Ezad, dia tidak betah dengan berpeluk tubuh saja tanpa perlu memikirkan cara mencari pendapatan.

“Ini antara perniagaan yang sesuai diusahakan dalam tempoh pelaksanna PKP sehingga 28 April ini,” katanya.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim berkata, perancangan awalnya bagi menambah pendapatan serta beberapa perancangan karier seninya terpaksa ditangguhkan seketika buat masa ini.

“Perancangan untuk perasmian dewan perkahwinan kendalian saya dan isteri terpaksa ditangguhkan. Begitu juga sambungan Siri Jelajah Exists Reunion seluruh Malaysia dan di Istana Budaya juga terpaksa ditangguhkan. Nasib sama juga dihadapi Konsert Nusa Fest yang mengabungkan tiga negara yang turut ditangguhkan.

“Baru-baru ini pula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan minta elakkan sebarang perhimpunan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun selepas PKP berakhir dan ia menambah panik kepada kami,” katanya.

Ezad juga meminta semua rakan-rakan seninya agar bermuhasabah dengan ujian ini.

“Kita kena reda dengan ketentuan-Nya. Yang penting selagi ada daya dan usaha, jangan berhenti berdoa dan jangan putus asa,” katanya.

Sumber:HM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*