Pernahkah kita terfikir bagaimana seorang ibu bertarung nyawa melahirkan zuriat dalam keadaan wabak penyakit seperti sekarang ini.
Bagaimana persediaan yang dilakukan oleh petugas kesihatan? Dek kerana itu,seorang doktor kanak-kanak, Dr Redza Zainol berkongsi pengalaman tersebut di dalam status Facebooknya baru-baru ini.,
Tulis Dr Redza,
“Petang tu saya dihubungi oleh doktor pakar saya. Kita ada seorang ibu 29 tahun mengandung bayi 40 minggu. Pasukan O&G nak caesar petang ni juga sebab ibu ni ialah PUI (Person Under Investigation) untuk Covid-19.
“Kes ni kes besar. Saya nak you standby dalam bilik pembedahan. Ibu muda ni dah 5 hari demam dan batuk. Jiran sebelah rumah dia pula positif Covid-19. Jujurnya, saya tak rasa risau. Doktor pakar saya hari tu pun tenang saja.
“Pusat saringan Covid-19 dan tempat pembedahan untuk ibu bersalin sengaja diletak jauh dari blok utama hospital. Biar jauh dari orang ramai dan staf kesihatan yang tak berkaitan.
“Sambil saya berjalan kaki ke sana, saya ingat semula setiap langkah yang perlu dibuat. Dah berhari-hari kami berlatih untuk terima kes yang serius begini. Dan sebenarnya, ini kali pertama pasukan doktor O&G akan buat pembedahan pada ibu yang berstatus PUI.” Jelas doktor kanak-kanak dari Hospital Muar itu.
Menurutnya lagi itulah kali pertama dia mengendalikan detik bersalin seramai 20 orang staf masuk ke ruang bilik bedah. Namun dia tetap bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar dan teratur.
“Saya sebagai doktor kanak-kanak pula bersedia untuk sebarang kemungkinan bila bayi tu keluar nanti. Dah rezeki saya. Di bilik pembedahan, pasukan pakar bedah O&G, pasukan pakar bius dan pasukan pakar kanak-kanak sampai serentak. Sampaikan ketua jabatan pun sama turun padang.
“Saya saksikan sendiri hampir 20 orang staf masuk ke ruang pembedahan. Betapa teraturnya keadaan tu. Masing-masing sibuk memakai pakaian penuh PPE. Staf semua saling membantu supaya proses berjalan pantas.

Menurut Dr Redza lagi bilik bedah itu sebenarnya adalah bilik bedah untuk kes-kes kecil tetapi telah dinaiktaraf supaya pembedahan untuk ibu PUI atau positif Covid-19 boleh dibuat.
Ketika pesakit itu sampai, hatinya menjadi sayu melihatkan wanita itu yang bukan sahaja menahan sakit, tetapi pada masa sama terpaksa memakai mask N95.
“Dalam diam saya doakan moga ibu ni terus kuat. Syukur Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan bayi yang keluar tu terus menangis elok.”
“Anak saya macam mana doktor? Saya nak tengok anak saya,” rayu pesakit tersebut sebaik sahaja dia selamat melahirkan anaknya.
Menurutnya Dr Redza lagi, momen yang lebih menyentuh perasaan apabila ibu dan anak ini perlu di pisahkan memandangkan status si ibu masih dalam rawatan dan isolasi.
Dua ambulan juga telah di sediakan satu untuk si ibu dan satu untuk si anak.
Tidak lama selepas itu, pasukan perubatan memasukan bayi tersebut dalam inkubator dan segera ditolak pantas keluar dari bilik pembedahan.
Namun, demi kesihatan ibunya serta kebaikan untuk anak biarlah para petugas ambil alih tugas ‘ibu’ itu sementara ibunya dihantar semula ke bilik isolasi.
“Transmisi jangkitan Covid-19 dari ibu yang mengandung pada bayi sangat rendah, tapi kami tak nak ambil risiko tu”

“Berat juga hati nak pisahkan ibu dan anak tapi itulah yang terbaik buat masa tu. Biarlah kami yang jaga bayi tu sementara ibunya dihantar semula ke bilik isolasi.
“Deritanya menjadi ibu berstatus PUI ni, hanya Allah yang tahu. Sudah lah dibedah, kemudian masuk pula ke bilik isolasi seorang diri. Tak ada tangan suami yang mengenggam tangan isteri. Yang ada hanyalah sebuah kesunyian. Saya dan staf kesihatan lain hanya buat apa yang kami mampu. Yang lain, saya serahkan pada Allah. Moga kalian sama-sama doakan kesihatan ibu dan anak ni. .” Tulisnya sebelum mengakhiri penulisannya itu.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LMP
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumatPress
Sumber: Sumber
Leave a Reply