“Apa-Apa Selain Daripada Itu, Sokongan Tidak Sah” – BN, PAS Tarik Balik SD Sokong Tun M, Wakil BN Tampil Dedah Kenapa

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan PAS memutuskan untuk menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pendirian itu terpaksa dibuat berikutan wujud cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada Dr Mahathir.

“Kita membuat ketetapan bahawa sokongan kepada Perdana Menteri untuk membentuk gabungan tanpa DAP, terpaksa kita tarik balik.

“SD yang kita sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dengan hanya terhad kepada pembentukan gabungan baharu tanpa DAP.

“Apa-apa selain daripada itu, sokongan tidak sah. Justeru sokongan pada Ahad lalu, kita tarik balik,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata gabungan mereka juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan cubaan untuk merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang berlaku ialah maklum balas terhadap kerajaan PH yang runtuh selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar PH, manakala beberapa pemimpin PKR pula mengumumkan keluar parti itu.

“Parti dalam kerajaan sudah berpecah dan pada peringkat awal, (kita) bersetuju pada dasar untuk bekerjasama dalam blok pembangkang.

“Kami mendapat lebih 130 kerusi dan dalam proses terakhir untuk memeterai satu pakatan baharu, iaitu Perikatan Nasional,” katanya.

SUMBER

BN, PAS, PBRS tuntut bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PAS berpendirian Parlimen dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara ketika ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pendirian itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Katanya, pendirian itu dibuat berikutan ada cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan membabitkan beberapa pemimpin parti politik.

“Berasaskan kemungkinan mahu dibentuk kerajaan perpaduan secara prinsipnya ia banyak bercanggah dengan dasar yang ditetapkan parti. Apa-apa perkiraan mestilah atas dasar parti.

“Selepas parti berbincang, kita tidak boleh menyembunyikan kepada rakyat dan mohon Parlimen dibubarkan.

“Biarlah rakyat yang menentukan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*